Friday 2 December 2011

Pintu taubat orang jahil tetap diterima



ISLAM tidak menutup pintu kepada umatnya yang bersalah, jika mereka mahu kembali kepada kebenaran dengan membersihkan diri dengan bertaubat. Malah, Islam membuka seluas-luasnya dan menggalakkan mereka berbuat demikian. Galakan diberikan setinggi-tingginya kepada mereka sehingga Allah meletakkan sebagai tanggungjawab-Nya untuk menerima taubat yang datang daripada hati tulus ikhlas. Hal ini kurniaan yang tiada tolok bandingnya bagi orang Islam. Sekali gus, menunjukkan bahawa sesungguhnya Allah Maha Pengampun.

Allah mengurniakan kepada hamba-Nya yang lemah peluang untuk kembali ke barisan yang suci. Dia tidak menyingkirkan mereka buat selama-lamanya seandainya hamba-Nya mempunyai keinginan untuk mendapat perlindungan yang abadi di sisi-Nya.

Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima taubatnya dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana(Surah al-Nisa, ayat 17)

Ayat di atas menjelaskan bahawa Allah menerima taubat orang yang melakukan perbuatan keji kerana kebodohannya. Kemudian mereka bertaubat walaupun malaikat telah bersedia untuk mencabut rohnya sebelum sampai ke tenggoroknya. Mujahid berkata: Setiap orang yang melakukan maksiat kepada Allah, baik keliru atau sengaja, bererti dia bodoh hingga menghindari dosa itu.

Abdul Razaq berkata: Ma'mar telah khabarkan kepada kami daripada Qatadah, dia berkata: Sahabat Rasulullah SAW sepakat mengatakan bahawa setiap orang yang melakukan maksiat kepada Allah, maka bererti dia jahil, baik sengaja atau tidak.

Mufassirin juga bersepakat berpendapat yang dimaksudkan dengan kejahilan adalah kesesatan dari jalan hidayah sama ada panjang atau pendek masanya, selagi tidak berterusan sehingga roh sampai ke halkum.

Begitu pun, bagi mereka yang mengetahui atau sedar mengenai kesalahan perbuatan yang dilakukan, mereka dilarang mengulanginya.

Rasulullah menempelak mereka yang melakukan kejahatan terus menerus, sedangkan mereka mengetahui kejahatan yang dilakukannya. Sepatutnya, mereka meminta keampunan kepada Allah di atas kesilapan pertamanya tanpa mengulangi kesalahan itu.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah b Amr, daripada Nabi ketika Baginda sedang berada di atas mimbar, Rasulullah bersabda bermaksud: Berilah kasih sayang, nescaya kamu akan dikasihi dan berilah keampunan nescaya kalian akan diberikan keampunan. Celakalah bagi orang yang mendengar perkataan, tetapi tidak mengamalkan dan celaka pula bagi orang yang terus menerus berbuat dosa yang mereka kerjakan, sedangkan mereka mengetahui (larangan berbuat dosa).

Ada beberapa keadaan taubat seseorang itu diterima oleh Allah. Antaranya taubat hendaklah terbit dari lubuk hati hamba-Nya. Hati itu adalah hati yang baru, iaitu hati yang penuh dengan penyesalan di atas kesilapan dan kesalahan yang dilakukan sehingga menjadikannya benar-benar sedar dan insaf.

Taubat yang diterima Allah juga adalah taubat dalam keadaan segera sebelum roh sampai ke tenggoroknya. Hal ini seperti dijelaskan oleh Imam Ahmad yang meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi bersabda bermaksud: Sesungguhnya Allah menerima taubat seseorang hamba selama (rohnya) belum sampai ke tenggorok.

Hal itu bererti apabila sudah putus harapan untuk hidup, malaikat mula datang menjemput, roh mula keluar dari tenggoroknya, dada mula terasa sesak dan mencapai tenggoroknya. Pada saat itu taubat tidak lagi diterima. Hal ini dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: Dan tidaklah taubat itu diterima Allah daripada orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang antara mereka, (barulah) dia mengatakan: Sesungguhnya saya bertaubat sekarang.(Surah al-Nisa, ayat 18)

Taubat juga tidak diterima ketika datangnya sebahagian tanda besar kiamat akan muncul. Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud : Pada hari datangnya sebahagian daripada tanda Tuhanmu itu (yang menjadi alamat hari kiamat), tidaklah berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu, atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya.(Surah al-Am am, ayat 158)

Taubat juga tidak diterima oleh Allah di kalangan hamba-Nya yang mati dalam kekafiran. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah juga dalam surah an-Nisa, ayat 18 yang bermaksud: Dan tidak pula diterima taubat orang yang mati, sedangkan mereka dalam kekafiran.

Ibn Abbas menerangkan ayat itu diturunkan kepada pelaku amalan syirik.

Oleh itu, manusia perlu mengelak daripada berada dalam tiga keadaan di atas untuk bertaubat. Sebaik-baiknya bersegera bertaubat di atas setiap kesilapan yang dilakukan.

Sesungguhnya manusia tidak dapat lari daripada memohon taubat kepada Allah. Perkara ini kerana tiada sesiapa yang boleh mengampunkan dosa manusia, selain Allah. Firman-Nya bermaksud: Dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah.(Surah Ali Imran, ayat 135)

Sesungguhnya Allah tidak pernah jemu memberi keampunan kepada hamba-Nya selagi mana hamba-Nya memohon keampunan kepada-Nya. Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Said, daripada Nabi bersabda bermaksud: Iblis berkata: Wahai Tuhan, dan demi kemuliaan-Mu, aku akan terus menggoda anak cucu Adam selama roh mereka masih berada di tubuh mereka. Allah pun menjawab: Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, Aku tetap akan memberi ampunan kepada mereka selama mereka segera bertaubat dan memohon ampunan kepada-Ku.


Thursday 22 September 2011

PAGAR DIRI DARI ILMU HITAM DAN SIHIR

Di bawah ini di nyatakan cara cara atau amalan yang boleh di lakukan untuk memagar diri anda dari perbuatan jahat tukang sihir atau pengamal ilmu hitam.Sihir mungkin tidak mengenal siapa anda.Ia boleh menyerang anda. Ketahuilah cara memagari diri anda dari sihir dan gangguan syaitan.


Pagar Pertama (1) - Makan Tamar 'Ajwah dan Tamar Madinah
Amalkan memakan tamar (kurma) 'Ajwah dan jika boleh makan bersama dengan Tamar Madinah. Sekiranya anda tidak boleh mendapatkan kedua-dua jenis tamar tersebut, makanlah apa-apa jenis tamar yang ada supaya menepati sabda
Rasulullah S.A.W. yang berbunyi: "Barangsiapa yang memakan tujuh biji tamar 'Ajwah, dia tidak akan mendapat sebarang kemudaratan racun atau sihir yang terkena pada hari itu".(Riwayat al Bukhari.) 

Pagar Kedua (2) - Berwuduk sebelum tidur
Sihir tidak akan memberi sebarang kesan terhadap seseorang muslim yang mempunyai wuduk. Setiap muslim yang berwuduk akan sentiasa dikawal ketat oleh para Malaikat sebagaimana diperintahkan oleh Allah S.W.T kepada mereka. 

Sabda Rasulullah S.A.W: Ertinya: "Sucikanlah jasad-jasad ini mudah-mudahan Allah akan menyucikan kamu. Kerana sesungguhnya tiada seorang pun dari mereka yang bersuci terlebih dahulu sebelum tidur, melainkan ada bersamanya
seorang Malaikat. Malaikat tersebut tidak akan pernah terlalai walaupun sedetik untuk mengucapkan doa: 'Ya Allah!Ampunilah dosa hambaMu ini kerana dia telah tidur dalam keadaan bersuci.'(Riwayat at Tabraaniy dgn sanad yang baik.) 

Pagar Ketiga (3) - Mengambil berat tentang solat berjemaah
Mengambil berat tentang solat berjemaah akan menjadikan seseorang muslim bebas serta aman dari gangguan syaitan. Bersikap sambil lewa terhadap solat berjemaah menyebabkan syaitan akan mengambil peluang untuk mendampingi
mereka. Apabila selalu berdampingan, lama kelamaan ia akan berjaya merasuk, menyihir atau melakukan kejahatan lain. 

Mengikut riwayat Abu Hurairah r.a., Rasulullah S.A.W.telah bersabda:Ertinya: 'Mana-mana kampung mahupun kawasan kawasan hulu yang tidak mendirikan solat berjemaah meskipun penduduknya cuma tiga orang, nescaya akan didampingi oleh syaitan. Oleh itu hendaklah dirikan solat berjemaah.Sesungguhnya serigala akan memakan kambing-kambing yang menyendiri dari puaknya.(Riwayat Abu Daud dengan sanad yang baik). 

Pagar Keempat (4) - Mendirikan Solat Tahajjud utk memagarkan diri dari sihir
Bangunlah mengerjakan solat malam dan janganlah mempermudah-mudahkannya.Sifat mempermudah-mudahkan bangun bersolat malam boleh memberi ruang kepada syaitan untuk menguasai diri seseorang itu.Apabila syaitan telah mampu menguasai diri seseorang, maka dirinya adalah tak ubah seperti bumi yang ketandusan akibat kesan tindakbalas hasil perlakuan syaitan tersebut. 

Ibnu Mas'ud r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. pernah diberitahu tentang perihal seorang lelaki yang tidur hingga ke Subuh dengan tidak mengerjakan solat malam, maka Rasulullah S.A.W. pun bersabda:Ertinya: "Sesungguhnya syaitan telah kencing di dalam telinganya"(Riwayat al Bukhari dan Muslim). 

Pagar Kelima (5) - Membaca doa perlindungan apabila masuk di dalam tandas
Tandas adalah tempat kotor dan merupakan rumah bagi syaitan. Oleh itu ia akan mencuba sedaya upaya menggunakan kesempatan yang ada untuk menguasai seseorang muslim setiap kali orang itu masuk ketandas. Di dalam sebuah buku
seorang mangsa sihir telah melapurkan bahawa dia pernah memasuki tandas dengan tidak membaca doa perlindungan. Seketika kemudian dia telah dirasuk oleh syaitan. 

Apabila Rasulullah S.A.W mahu memasuki tandas, baginda akan membaca doa perlindungan dengan berkata: Ertinya: "Dengan nama Allah. Ya Allah!Sesungguhnya aku berlindung denganMu dari sebarang kekotoran dan gangguan
syaitan". 

Riwayat al Bukhari dan Muslim. Maksudnya adalah berlindung dari gangguan syaitan-syaitan jantan atau betina. 

Pagar Keenam (6) - Memagar isteri selepas selesai akad nikah
Selepas majlis akad nikah, pada malam pengantin sebelum memulakan adab-adab berpengantin yang lain, hendaklah suami meletakkan tangan kanannya di atas ubun-ubun kepala isterinya sambil berdoa:
"Ya Allah, aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan yang telah Engkau selubungi ke atasnya,dan aku berlindung dari keburukannya dan keburukan yang telah Engkau selubungi ke atasnya. Ya Allah berkatilah isteriku ini
ke atasku dan lindungilah dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki, dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya."(Riwayat Abu Daud dan menurut al Albaaniy sanadnya baik). 

Pagar Ketujuh (7) - Berwuduk sebelum tidur, membaca ayat-ayat al Kursi dan berzikir kepada Allah sehingga terlelap.
Dalam satu hadis sahih telah menceritakan bahawa syaitan telah berkata kepada Abu Hurairah: "Barangsiapa yang membaca ayat-ayat al Kursi sebelum tidur,dirinya sentiasa di dalam peliharaan Allah manakala syaitan sekali-kali tidak mampu mendekatinya sehinggalah ke waktu pagi''. 

Rasulullah S.A.W. telah bersetuju dengan cerita Abu Hurairah tersebut sambil berkata: "Ia telah bercakap benar kepada engkau, walhal ia sendiri sememangnya penipu."(Riwayat al Bukhari).

Tuesday 9 August 2011

Khutbah Rasulullah Saw Tentang Dajjal ..

Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.

Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Irak. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.

Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.

Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.

Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu? Orang Arab itu akan berkata: Tentu. Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.

Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: Siapa Tuhanmu? Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah.
Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga.

Kata Rasulullah s.a.w lagi: Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak me-ngakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.

Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.

Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.

Dalam hadis yang lain, di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka subur.

Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai.

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda: Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu.

Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi.

Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima dari Aisyah r.a. mengatakan: Pernah satu hari Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat saya menangis beliau bertanya: Mengapa menangis? Saya menjawab: Ya Rasulullah, engkau telah menceritakan Dajjal, maka saya takut mendengarnya.
Rasulullah s.a.w berkata: Seandainya Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan cacat.

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa.

Ada yang bertanya: Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga? Rasulullah s.a.w menjawab: Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu.
Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu bermaksud menahannya? Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan.

Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan? Mereka semua menjawab: Ya, kami ingin. Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.

Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda: Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah SWT mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Masud dan kemudian membunuh Dajjal itu.

Dan menurut ceritanya setelah munculnya Dajjal hampir semua penduduk dunia menjadi kafir, yakni beriman kepada Dajjal. Menurut ceritanya orang yang tetap dalam iman hanya tinggal 12,000 lelaki dan 7,000 kaum wanita. Wallahu A'lam.

Monday 1 August 2011

Rahsia Solat 5 Waktu Dan Puasa

KISAH RAHSIA DI SEBALIK SEMBAHYANG LIMA (5) WAKTU.

Ali bin Abi Talib r.a berkata :

"Sewaktu Rasullullah S.A.W duduk bersama para sahabat muhajirin dan ansar, maka dengan tiba-tiba datanglah satu rombongan orang-orang Yahudi lalu berkata : ' Ya Muhammad, kami hendak tanya kepada kamu kalimat-kalimat yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa A.S. yang tidak diberikan kecuali kepada para Nabi utusan Allah atau malaikat muqarrab.'

Lalu Rasullullah S.A.W. bersabda:'Silakan bertanya.'


Berkata orang Yahudi: 'Sila terangkan kepada kami tentang 5 waktu yang

diwajibkan oleh Allah ke atas umatmu.'

Sabda Rasullullah S.A.W.:

'Sembahyang Zuhur jika tergelincir matahari, maka bertasbihlah segala sesuatu kepada tuhanNya, Sembahyang Asar itu ialah saat ketika Nabi Adam A.S. memakan buah Khuldi,Sembahyang Maghrib itu adalah saat Allah menerima taubat Nabi Adam A.S.,maka setiap mukmin yang bersembahyang Maghrib dengan ikhlas kemudian dia berdoa meminta sesuatu pada Allah maka pasti Allah akan mengkabulkan permintaannya. Sembahyang Isya' itu ialah sembahyang yang dikerjakan oleh para Rasul-Rasul sebelumku. Sembahyang Subuh adalah sebelum terbit matahari, ini kerana apabila matahari terbit, terbitnya di antara dua tanduk syaitan dan di situ sujudnya tiap orang kafir.' 
 
Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasullullah S.A.W. maka
mereka berkata: 'Memang benar apa yang kamu katakan itu Muhammad, katakanlah kepada kami apakah pahala yang akan didapati oleh orang yang sembahyang.

Rasullullah S.A.W bersabda:

'Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sembahyang yang pertengahan,sembahyang Zuhur, pada saat itu nyalanya neraka Jahanam,orang mukimin yang mengerjakan sembahyang pada ketika itu akan diharamkan keatasnya wap api neraka Jahanam pada hari Kiamat.'

Sabda Rasullullah S.A.W. lagi:

'Manakala sembahyang Asar, adalah saat di mana Nabi Adam A.S. memakan buah Khuldi. Orang mukmin yang mengerjakan sembahyang Asar akandiampunkan dosanya seperti bayi yang baru lahir.'

Setelah itu Rasullullah S.A.W. membaca ayat yang bermaksud:

'Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sekali sembahyang yang pertengahan, sembahyang Maghrib itu adalah saat di mana taubat Nabi Adam A.S. diterima. Seorang mukimin yang ikhlas mengerjakan sembahyang Maghrib kemudian meminta sesuatu dari Allah maka Allah akan perkenankan.'

Sabda Rasullullah S.A.W.:

'Sembahyang Isya' (atamah). Katakan kubur itu adalah sangat gelap dan begitu juga pada hari Kiamat, maka seorang mukmin yang berjalan dalam malam yang gelap untuk pergi menunaikan sembahyang Isya' berjamaah, Allah S.W.T. haramkan dari terkena nyalanya api neraka dan diberinya cahaya untuk menyeberangi titi sirath.'

Sabda Rasullullah S.A.W. seterusnya:

'Sembahyang Subuh pula, seorang mukmin yang mengerjakan sembahyang subuh
selama 40 hari secara berjamaah, diberi oleh Allah S.W.T. dua kebebasan
iaitu:
1. Dibebaskan dari api neraka.
2. Dibebaskan dari nifaq.

Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasullullah S.A.W. maka
mereka berkata: 'Memang benarlah apa yang kamu katakan itu wahai Muhammad (S.A.W). Kini katakan pula kepada kami semua kenapakah Allah S.W.T. mewajibkan puasa 30 hari ke atas umatmu?'.

Sabda Rasullullah S.A.W.: 'Ketika Nabi Adam memakan buah pohon yang
dilarang, lalu makanan itu tersangkut dalam perut Nabi Adam A.S.selama 30 hari. Kemudian Allah S.W.T. mewajibkan ke atas keturunan Adam A.S. berlapar selama 30 hari. Sementara izin makan diwaktu malam itu adalah sebagai kurnia Allah S.W.T. kepada makhlukNya.'

Kata orang Yahudi: 'Wahai Muhammad, memang benarlah apa yang kamu
katakan itu. Kini terangkan kepada kami ganjaran pahala yang diperolehi dari puasa itu.'
 
Sabda Rasullullah S.A.W.: 'Seorang hamba yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan ikhlas kepada Allah S.W.T. dia akan diberi oleh Allah S.W.T. tujuh perkara:
1. Akan dicairkan daging haram yang tumbuh dari badannya (daging yang tumbuh dengan  makanan yang haram).
2. Rahmat Allah sentiasa dekat dengannya.
3. Diberi oleh Allah sebaik-baik amal.
4. Dijauhkan dari merasa lapar dan haus.
5. Diringan baginya siksa kubur (siksa yang sangat mengerikan).
6. Diberikan cahaya oleh Allah S.W.T. pada hari Kiamat untuk menyeberang titian sirath.
7. Allah S.W.T. akan memberinya kemudian di syurga.'

Kata orang Yahudi: 'Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad. Katakan
kepada kami kelebihanmu antara semua para nabi-nabi.'

Sabda Rasullullah S.A.W.: 'Seorang nabi mengunakan doa mustajabnya untuk
membinasakan umatnya, tetapi saya tetap menyimpankan doa saya (untuk saya gunakan memberi syafaat pada umat saya di hari kiamat).'

Kata orang Yahudi: 'Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad, kini kami
mengakui dengan ucapan Asyhadu Alla illaha illallah, wa annaka Rasulullah (kami percaya bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan engkauutusan Allah).'

"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah2an. Dan berilah berita gembira kepada orang2 yang sabar." (Al-Baqarah : 155)

=================================================================


Disebutkan didalam satu riwayat, bahawasanya apabila para makhluk
dibangkitkan dari kubur, mereka semuanya berdiri tegak di kubur masing-masing selama 44 tahun UMUR AKHIRAT dalam keadaan TIDAK MAKAN dan TIDAK MINUM, TIDAK DUDUK dan TIDAK BERCAKAP.

Bertanya orang kepada Rasulullah saw :

"Bagaimana kita dapat mengenali ORANG-ORANG MUKMIN kelak di hari qiamat?" Maka jawabnya Rasulullah saw, "Umat dikenal kerana WAJAH mereka putih disebabkan oleh WUDHU'." Bila qiamat datang maka malaikat datang ke kubur orang mukmin sambil membersihkan debu di badan mereka KECUALI pada tempat sujud. Bekas SUJUD tidak dihilangkan. Maka memanggillah dari zat yang memanggil. Bukanlah debu itu dari debu kubur mereka,akan tetapi debu itu ialah debu KEIMANAN mereka. Oleh itu tinggallah debu itu sehingga mereka melalui titian Siratul Mustaqim dan memasuki alam syurga,sehingga setiap orang melihat para mukmin itu mengetahui bahawa mereka adalah pelayan Ku dan hamba-hamba Ku. Disebutkan oleh hadith Rasulullah saw bahawa sepuluh orang yang mayatnyaTIDAK BUSUK dan TIDAK REPUT dan akan bangkit dalam tubuh asal diwaktu
mati :
1. Para Nabi
2. Para Ahli Jihad
3. Para Alim Ulama
4. para Syuhada
5. Para Penghafal Al Quran
6. Imam atau Pemimpin yang Adil
7. Tukang Azan
8. Wanita yang mati kelahiran/beranak
9. Orang mati dibunuh atau dianiaya
10. Orang yang mati di siang hari atau di malam Jumaat jika mereka itu
dari kalangan orang yang beriman.

Didalam satu riwayat yang lain dari Jabir bin Abdullah ra sabda
Rasulullah saw: Apabila datang hari qiamat dan orang orang yang berada di dalam kubur dibangkitkan maka Allah swt memberi wahyu kepada Malaikat Ridhwan:Wahai Ridhwan, sesungguhnya Aku telah mengeluarkan hamba-hamba Ku berpuasa (ahli puasa) dari kubur mereka di dalam keadaan letih dan
dahaga. Maka ambillah dan berikan mereka segala makanan yang digoreng dan buah
buahan syurga. Maka Malaikat Ridhwan menyeru, wahai sekelian kawan-kawan dan
semua anak-anak yang belum baligh, lalu mereka semua datang dengan membawa dulang dari nur dan berhimpun dekat Malaikat Ridhwan bersama dulang yang penuh dengan buahan dan minuman yang lazat dari syurga dengan sangat banyak melebihi daun-daun kayu di bumi. Jika Malaikat Ridhwan berjumpa mukmin maka dia memberi makanan itu kepada mereka
sambil mengucap sebagaimana yang difirman oleh Allah swt di dalam Surah Al-Haqqah bermaksud :
"Makan dan minumlah dengan sedap disebabkan AMAL yang telah kamu
kerjakan pada HARI yang telah LALU itu."

* Tolong sebarkan kisah ini kepada saudara Islam yang lain. Ilmu yang

bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang yang
mengajarnya meskipun dia sudah mati. " Dan (ingatlah) Allah sentiasa
mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan." Surah
Al-Baqarah : 237

Thursday 28 July 2011

Di Mana Allah...??

Allah yang menciptakan kita mewajibkan kita untuk mengetahui di mana
Dia, sehingga kita dapat menghadap kepada-Nya dengan hati, do'a dan
solat kita. Orang yang tidak tahu di mana Tuhan akan selalu sesat, dan
tidak mengetahui bagaimana caranya beribadah yang benar. Sifat 'atas'
atau 'tinggi' yang dimiliki Allah atas makhlukNya tidak berbeza dengan
sifat-sifat Allah yang lain sebagaimana yang diterangkan dalam Qur'an
dan Hadith sahih, seperti 'mendengar', 'melihat', 'berbicara', 'turun'
dan lain-lain.


Aqidah para ulama salaf yang soleh dan golongan yang selamat yaitu
"Ahlus Sunnah wal Jama'ah" mempunyai keyakinan sesuai dengan apa yang
terdapat dalam Kitabullah tanpa ta'wil (menggeser ma'na yang asal ke
ma'na yang lain), ta'til (meniadakan ma'nanya sama sekali) dan tasybih
(menyamakan Allah dengan makhlukNya). Hal ini berdasarkan firman Allah
yang bermaksud:
"Tidak ada suatu apa pun yang sama dengan Allah dan Allah Maha Mendengar
dan Maha Melihat." (AsySyura: 11)


Sifat-sifat Allah ini antara lain sifat 'atas' atau 'tinggi' tadi
mengikuti zat Allah. Oleh karena itu Iman kepada sifat-sifat Allah
tersebut juga wajib sebagaimana juga Iman kepada zat Allah. Imam Malik
ketika ditanya tentang ma'na "istiwa" dalam firman Allah yang bermaksud:
''Allah yang Maha Pengasih itu "istawa" di atas Arasy." [Surah Taha:4]
Beliau menjawab: Istiwa itu sudah dimaklumi, yaitu bererti "Tinggi."
Tetapi bentuknya bagaimana tidak diketahui, kita hanya wajib mengimaninya.
Perhatikanlah jawapan Imam Malik tadi yang menetapkan bahawa iman kepada
istiwa itu wajib diketahui oleh setiap Muslim. 

Tetapi bagaimana tingginya Allah itu hanya Allah saja yang mengetahui. Orang yang
mengingkari sifat Allah yang telah ditetapkan dalam Qur'an dan hadith -
antara lain sifat ketinggian Allah yang mutlak dan Allah di atas langit
- maka orang itu bererti telah mengingkari ayat Qur'an dan hadith yang
menetapkan adanya sifat-sifat tersebut. Sifat-sfat tersebut meliputi
sifat-sifat kesempurnaan, keluhuran dan keagungan yang tidak boleh
diingkari oleh siapa pun. 

Usaha sekelompok ulama' yang datang belakangan
untuk mena'wilkan ayat-ayat Qur'an yang berhubungan dengan sifat Allah,
yang terpengaruh oleh filsafat yang merosak aqidah Islam, menyebabkan
mereka menghilangkan sifat-sifat Allah yang sempurna dari zat-Nya.
Mereka bertentangan dengan method ulama salaf yang dinilai lebih
selamat, lebih tahu dan lebih kuat argumentasinya.

KESIMPULAN
Beriman kepada seluruh sifat-sifat Allah yang diterangkan dalam Qur'an
dan hadith adalah wajib. Tidak boleh membeza-bezakan antara sifat yang
satu dengan sifat yang lain, sehingga kita hanya mahu beriman kepada
sifat yang satu dan ingkar kepada sifat yang lain. Orang yang percaya
bahwa Allah itu Maha Mendengar dan Maha Melihat, dan percaya bahwa
mendengar dan melihatnya Allah tidak sama dengan mendengar dan
melihatnya makhluk, maka ia juga harus percaya bahwa Allah itu tinggi di
atas langit dengan cara dan sifat yang sesuai dengan keagungan Allah dan
tidak sama dengan tingginya makhluk, kerana sifat tingginya itu adalah
sifat yang sempurna bagi Allah. Hal itu sudah ditetapkan sendiri oleh
Allah dalam kitabNya dan sabda-sabda Rasulullah SAW. 
 Fitrah dan cara berfikir yang sihat juga mendukung kenyataan tersebut. ALLAH Dl ATAS ARASY
Al Qur'an, hadith sahih dan naluri serta cara berfikir yang sihat akan
mendukung kenyataan bahwa Allah berada di atas arasy.
1. Allah berfirman yang bermaksud:
"Allah yang Maha Pengasih itu "istawa" di atas Arasy." [Surah Taha:4]
Sebagaimana diterangkan dalam hadith Bukhari, para tabiin menafsirkan
istawa dengan naik dan tinggi.

2. Allah berfirman yang bermaksud:
"Apakah kamu merasa aman terhadap Yang di langit? Dia akan
menjungkir-balikkan bumi bersama kamu." (AlMulk:16)
Menurut Ibnu Abbas yang dimaksud "Yang di langit" adalah Allah seperti
dituturkan dalam kitab Tafsir Ibnul-Jauzi.

3. Firman Allah yang bermaksud:
"Orang-orang tidak takut kepada Tuhannya yang di atas mereka." (AnNahl: 50)
4. Firman Allah tentang Nabi Isa As:
"Tetapi Allah mengangkatnya kepadaNya." (AnNisa:158)
Maksudnya Allah menaikkan Nabi Isa ke langit.

5. Allah berfirman yang maksudnya:
"Ialah Allah yang ada di langit-langit." (AlAn'am: 3)
Ibnu Katsir mengomentari ayat ini sebagai berikut: Para ahli tafsir
bersependapat bahwa kita tidak akan berkata seperti ucapan kaum Jahmiyah
(golongan yang sesat) yang mengatakan bahwa Allah itu berada di setiap
tempat. Maha Suci Allah dari ucapan mereka. Adapun firman Allah yang bermaksud:
"Dan Allah selalu bersamamu di mana kamu berada." (AlHadid: 41)
Yang dimaksudkan adalah Allah itu selalu bersama kita, dimana Allah
Mendengar dan Melihat kita, seperti keterangan dalam Ibnu Katsir dan Jalalain.
6. Rasulullah SAW mi'raj ke langit ketujuh dan berdialog dengan Allah
serta diwajibkan untuk melakukan solat lima waktu (Riwayat Bukhari dan Muslim).
7. Rasulullah SAW bersabda:
"Kenapa kamu tidak mempercayaiku, padahal saya ini dipercayai oleh Allah
yang ada di langit?" (Riwayat Bukhari dan Muslim).
8. Rasulullah SAW bersabda: "Sayangilah orang-orang yang ada di bumi
maka yang di langit (Allah) akan menyayangimu." (Riwayat Turmidzi).
9. Rasulullah SAW pernah menanyai seorang wanita budak: "Di mana Allah?"
Jawabnya: "Di langit!" Rasulullah bertanya lagi: "Siapa saya?" Dijawab
lagi: "Kamu Rasulullah." Lalu Rasulullah bersabda: "Merdekakanlah dia
karena dia seorang Mukminah! "
10. Sabda Rasulullah SAW: "Arsy berada di atas, dan Allah berada di atas
arsy. Allah mengetahui keadaan kamu."
11. Abu Bakar Siddiq berkata: "Barang siapa menyembah Allah maka Allah
berada di langit, Ia hidup dan tidak mati." (Riwayat Imam Darimi dalam
Alradd alal Jahmiyah)
12. Abdullah bin Mubarak pernah ditanya: "Bagaimana kita mengetahui
Tuhan kita?" Maka beliau menjawab: "Tuhan kita di atas langit, di atas
arsy, berbeza dengan makhlukNya." Maksudnya zat Allah berada di atas
arsy, berbeza dan berpisah dengan makhlukNya, dan keadaannya di atas
arsy tersebut tidak sama dengan makhluk.
13. Imam Abu Hanifah menulis kitab kecil berjudul "Sesungguhnya Allah
itu di atas arsy." Beliau menerangkan hal itu seperti dalam kitabnya
"Al-Ilm wal-Muta'allim."
14. Orang yang sedang solat selalu mengucapkan "Subhana rabial'ala (Maha
Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi). Ketika berdo'a ia juga mengangkat
tangannya dan menadahkan ke langit.
15. Otak yang sihat juga mendukung kenyataan bahwa Allah berada di
langit. Seandainya Allah berada di semua tempat, nescaya Rasulullah SAW
pernah menerangkan dan mengajarkan kepada para sahabatnya. Kalau Allah
berada di SEGALA TEMPAT bererti Allah jua berada di tempat-tempat yang
najis dan kotor. Maha Suci Allah dari anggapan itu.
[Syeikh Muhammad b Jamil Zeno; Dar-ul-Hadith Al-Khairiyah, Makkah
Al-Mukarramah]

Monday 20 June 2011

DOA SEWAKTU BERSUJUD DAN KEISTIMEWAANNYA ..

Sewaktu bersujud, kita berada amat hampir dengan Allah. Katakanlah apa sahaja di dalam hati hajat kita sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s. a. w. yang biasa memanjangkan sujudnya dengan memperbanyakkan zikir dan doa didalamnya.
 

Sabda Rasulullah s. a. w :-
 "Suasana yang paling hampir antara seseorang hamba dengan Tuhannya ialah di kala ia bersujud kerana itu hendaklah kamu memperbanyakkan doa di dalamnya."  Banyak doa yang diamalkan oleh Rasulullah untuk kita ikuti. Salah satunya yang paling baik untuk diamalkan ialah doa yang dibaca sewaktu sujud akhir dalam solat.
  

"Ya Allah, tambahkanlah bagiku rezeki yang banyak lagi halal, imam yang benar, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang elok, kecerdikan yang tinggi, hati yang bersih dan kejayaan yang besar."
  
Semoga dengan mengamalkan doa itu kita mendapat manfaat atau sekurang-kurangnya menjadi cita-cita kita dalam mencari keredhaan Allah dunia dan akhirat.

Banyak kelebihan memanjangkan sujud dan memperbanyakkan doa di dalamnya.        Rasulullah s. a. w biasa berbuat begitu sehingga pernah para sahabat hairan kerana lamanya baginda bersujud. 

Keistimewaan umatnya yang bersujud telah disebut oleh baginda dalam sabdanya yang bermaksud:-
"Tiadalah ada seorang umatku melainkan aku yang akan mengenalinya di hari kiamat" Mendengar itu para sahabat bertanya: 


"Bagaimanakah engkau dapat mengenali mereka dalam khalayak ramai wahai Rasulullah?" Jawab baginda: "Tidakkah engkau melihat seandainya sekumpulan unta dimasuki oleh seekor kuda yang amat hitam, sedang di dalamnya pula terdapat sekor kuda putih bersih, maka adakah engkau tidak dapat mengenalinya?" 

Sahabat Menjawab: "Bahkan !" Rasulullah menyambung: "Kerana sesungguhnya pada hari itu (kiamat) muka umatku akan putih (berser-seri) disebabkan mereka bersujud (di dunia), segala anggota mereka ( terutama anggota wudu') putih berseri-seri oleh cahaya wudhu' !!!"


KEISTIMEWAANNYA 

Ahli neraka juga mendapat keselamatan kerana bekas sujudnya. Rasulullah s. a. w. bersabda yang bermaksud:-  "Apabila Allah hendak melimpahkan Rahmat (kebaikan) kepada ahli-ahli neraka yang Dia kehendaki, Dia pun memerintahkan malaikat supaya mengeluarkan orang-orang yang menyembah Allah, lalu mereka dikeluarkan dan mereka dikenali dengan kesan-kesan sujud (di dahi mereka),
di mana Allah menegah neraka memakan (menghapuskan) bekas-bekas sujud itu, lalu mereka pun keluar dari neraka, maka setiap tubuh anak Adam akan dimakan api neraka selain bekas sujud" Begitulah Allah memuliakan hamba-Nya yang bersujud. Orang yang sujud mendapat keistimewaannya apatah lagi di dalam sujud itu kita berdoa. Sudah tentu mendapat perhatian yang sewajarnya. Semoga kita akan menjadi hamba yang benar-benar mendapat rahmat.


Thursday 9 June 2011

Sesuatu Yg Kita Jarang Sedar ......ingatan untuk kawan-kawan

Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya."
(Surah Al-A'raf: ayat 34)

BETAPA kerapnya malaikat maut melihat dan merenung wajah seseorang, iaitu dalam masa 24 jam sebanyak 70 kali, andainya manusia sedar hakikat tersebut, nescaya dia tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan oleh Malaikat Izrail.

Justeru itu tidak hairan jika ramai manusia yang masih mampu bersenang riang dan bergelak ketawa, seolah-olah dia tiada masalah yang perlu difikir dan direnungkan dalam hidupnya. Walaupun dia sebenarnya adalah seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak memiliki sebarang bekalan untuk akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula melakukan dosa.

Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

"Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari.Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang sedang gelak ketawa. Maka berkata Izrail: Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok bergelak ketawa."

Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhati oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati. Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal mati dan hubungannya dengan malaikat maut.

Meskipun mata manusia hanya mampu melihat alam benda yang nyata, tidak mungkin dapat melihat kehadiran malaikat maut itu. Namun pandangan mata hati mampu melihat alam ghaib, iaitu memandang dengan keyakinan iman dan ilmu.

Sebenarnya manusia itu sedar bahawa setiap makhluk yang hidup pasti akan mati, tetapi manusia menilai kematian dengan berbagai tanggapan. Ada yang menganggap kematian itu adalah suatu tabi'e biasa sebagai pendapat golongan atheis, dan tidak kurang pula orang yang mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebabnya yang zahir sahaja. Dia mengambil logik bahawa banyak kematian disebabkan oleh sesuatu tragedi, seperti diakibatkan oleh peperangan, bencana alam seperti gempa bumi, banjir, kebakaran dan juga kemalangan sama ada di udara, laut dan daratan termasuk kemalangan jalan raya.

Selain itu mereka juga melihat kematian disebabkan oleh serangan penyakit yang merbahaya seperti penyakit barah, sakit jantung, AIDS, demam denggi, ta'un dan sebagainya. Disebabkan manusia melihat kematian hanya dari sudut sebab musabab yamg lumrah, maka manusia sering mengaitkan kematian itu dengan kejadian-kejadian yang disebut di atas. Jika berlaku kematian di kalangan mereka, lantas mereka bertanya, "sebab apa si pulan itu mati, sakitkah atau kemalangankah?".

Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat maut sentiasa berlegar di sekeliling manusia, mengenal pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah tamat.

Sesungguhnya malaikat maut menjalankan arahan Allah SWT dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Jika Allah SWT menetapkan kematian seseorang ketika berlaku kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat, maka Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian tersebut.

Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun orang-orang mewah yang sedang hidup rehat dibuai kesenangan. Malaikat maut datang tepat pada waktunya tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang, atau mengerang kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka kematiannya tidak tertangguh walau sesaat.

Walau bagaimanapun ada ketikanya Allah SWT jadikan berbagai sebab bagi sesuatu kematian, yang demikian itu ada hikmah disebaliknya. Misalnya sakit tenat yang ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan menjadi rahmat bagi orang beriman dan sabar, kerana Allah Taala memberi peluang dan menyedarkan manusia agar dia mengingat mati, untuk itu dia menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu, membetulkan dan bertaubat dari dosa dan kesilapan serta memperbaiki amalan, serta menambah bekalan untuk akhirat, jangan sampai menjadi seorang yang muflis di akhirat kelak.

Begitu juga orang yang mati mengejut disebabkan kemalangan, ia akan menjadi pengajaran dan memberi peringatan kepada orang yang masih hidup supaya mereka sentiasa waspada dan tidak lalai dari berusaha memperbaiki diri, menambah amal kebajikan dan meninggalkan segala kejahatan. Kerana sekiranya ajal datang secara tiba-tiba pasti akan membawa sesalan yang tidak berguna.

Di kalangan orang solihin menganggap bahawa sakit yang ditimpakan kepada dirinya adalah sebagai tanda bahawa Allah SWT masih menyayanginya. Kerana betapa malangnya bagi pandangan orang-orang soleh itu jika Allah SWT mengambil roh dengan tiba-tiba, tanpa sebarang amaran terlebih dahulu. Seolah-olah Allah SWT sedang murka terhadap dirinya, sebab itulah Allah SWT tidak beri amaran terlebih dahulu kepadanya. Keadaan orang itu ibarat orang yang tidak menyedari adanya bahaya di hadapannya, jika tiada amaran terlebih dahulu nescaya dia akan menjerumus ke lembah bahaya itu.

Selain itu Allah Taala menjadikan sebab-sebab kematian itu bagi memenuhi janjiNya kepada malaikat maut, sebagaimana diriwayatkan oleh Saidina Abbas r.a dalam sebuah hadis Nabi yang panjang. Antara lain menjelaskan bahawa Izrail merasa kesedihan apabila dibebankan dengan tugas mencabut roh makhluk-makhluk bernyawa kerana di antara makhluk bernyawa itu termasuk manusia yang terdiri dari kekasih-kekasih Allah, iaitu para rasul a.s.w., para nabi-nabi, para wali-wali dan orang-orang solihin.

Selain itu malaikat maut mengadu kepada Tuhan betapa dirinya tidak disenangi oleh keturunan Adam, dia mungkin dicemuh kerana dia ditugaskan mencabut roh manusia, yang akan menyebabkan orang akan berdukacita, kerana kehilangan sanak keluarga dan orang-orang yang tersayang di kalangan mereka.

Diriwayatkan bahawa Allah SWT berjanji akan menjadikan berbagai sebab-sebab kepada kematian yang akan dilalui oleh keturunan Adam. Sehingga keturunan Adam itu akan memikirkan dan mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang dialami oleh mereka. Apabila berlaku kematian, mereka akan berkata bahawa si anu itu mati kerana menghidap sakit, ataupun kerana mendapat kemalangan, mereka akan terlupa mengaitkan malaikat maut dengan kematian yang berlaku itu.

Ketika itu Izrail tidak perlu bersedih kerana manusia tidak mengaitkan kematian tersebut dengan kehadiran malaikat maut, yang sememangnya diutus oleh Allah SWT pada saat malapetaka atau sakit tenat seseorang itu bertepatan dengan ajal mereka yang sememangnya telah tiba.

Namun pada hakikatnya bahawa ajal itu adalah ketetapan Allah, yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya telah nyata di dalam takdir Allah, bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Izrail hanyalah tentera Allah yang menjalankan tugas seperti yang telah diamanahkan kepadanya.

Walau bagaimanapun adalah menjadi hak Allah Taala untuk menentukan kematian seseorang itu sama ada bersebab atau tidak, sebagaimana yang dinyatakan pada awal tulisan ini, bahawa ada ketikanya malaikat maut datang hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi malaikat maut sedang dalam keadaan seronok bergelak ketawa, hingga malaikat maut merasa hairan terhadap manusia itu. Ini membuktikan bahawa kematian itu tidak pernah mengenal, sama ada seseorang yang sedang sakit ataupun ketika sihat dan segar bugar.


Saturday 28 May 2011

Allah Jalla Jalaluh ..


Allah adalah nama yang paling mulia yang telah ditetapkan untuk zat yang tertentu sahaja. Suatu zat yang murni semurni-murninya. Kemurnian yang tidak boleh dilembagakan dengan sesuatu apapun. Dengan-Nya sahajalah manusia beriman. Dengan-Nyalah sahaja manusia berubudiyah. Daripada-Nya manusia mengenali kehidupan dan kepada-Nyalah mereka kembali. Sama ada mereka bersedia atau tidak, sama ada mereka bersetuju atau sebaliknya.


Dari Mana? Kenapa? Dan Ke Mana?


Dalam menghayati kalimah murni ini manusia memerlukan kepada suatu jawapan penyelesaian. Jawapan kepada persoalan-persoalan yang tidak pernah renggang atau jauh daripada minda dan perasaan. Persoalan yang telah timbul sejak dahulu hingga kini, terutama pada saat-saat kesunyian, kekosongan atau ketika lintasan awal mengusik perasaan dalaman mengenai kematian.


Manusia Pilihan


Tidak ada manusia yang paling bertuah dan terpilih, kecuali jawapan yang tepat yang dapat memberikan kepada persoalan-persoalan ini. Siapa manusia sebenar? Kenapakah manusia diberi peluang hidup di dunia? Dan ke manakah pula manusia akhirnya?


Manusia akan memperolehi jawapannya yang tepat andainya ia mengambil jawapan yang telah disediakan melalui petunjuk Allah SWT dan Rasul-Nya (al-Quranul al-Karim dan as-Sunnah Nabawiyyah). Manusia perlu mengambil asas-asas aqidah yang benar serta syariatnya yang terbina daripada asas-asas tersebut. Manusia perlu mengambil Islam dan daulahnya yang pernah dipersaksikan begitu lama dalam realiti hidup generasi awal pimpinan Rasulullah SAW. Manusia perlu mengambil seluruh rantaian sirah kehidupan pewaris-pewarisnya dan mujahid-mujahid Islam yang sangat jelas kefahaman dan penghayatan serta iltizam dan intizam mereka sepenuhnya dengan din Allah SWT dalam apa jua keadaan dan suasana.


Kalimatullah Tidak Akan Terguris


Dalam konteks mendapatkan hakikat kefahaman kalimah mulia Allah, manusia wajar merenung sejenak dengan rasa hati yang lembut dan murni. Manusia seharusnya memikir jauh buat seketika dengan mindanya yang terarah terhadap kalimah agung �Allahur Rahman AllahurRahim� yang disaluti anekarupa kerahmanan, kalimah yang hanya layak menerima segala pujian dan kemuliaan.

Kerahmatan-Nya yang terang nyata pulangannya untuk makhluk ciptaan-Nya semata-mata.

Biar seluruh manusia sejak daripada Adam AS, dan makhluk lain diberi ruang untuk hidup kemudian semua mereka melupakan Allah SWT, atau mengkufur-kan-Nya terus menerus, nescaya tidak akan terguris sedikit pun hakikat kemurnian Kalimatullah. Tidak akan berkurangan kesultanan dan ketuanan-Nya, walau sebesar zarah atau lebih halus daripada itu. Tidak ada sebarang kepantasan pintasan cahaya yang dapat menjerebui ketajaman sinaran kebesaran Nur Allah.


Daya Menjinak Hati Dan Fitrah Salimah


Jika manusia berbuat demikian, kerugian dan kebinasaanlah yang menimpa manusia. Keadaan ini berpunca daripada kejahilan serta sifat keangkuhan manusia untuk mengenal penciptanya

atau kesesatan dan buta hati manusia untuk memperhambakan dirinya kepada Rabbul Alamin, atau nafsu ammarah bimbingan syaitan telah menjadi ilahnya. Pada ketika tertentu manusia meyakini Allah SWT, sedang pada masa yang lain pula ia menjuarai jahiliyyah. Itulah kehancuran dan kebinasaan yang tidak berhujung dan bertebus walau sebesar bumi dan segala isinya atau setinggi langit dan segala kandungannya sebagai gantian melainkan hanya dengan maghfirah Allah SWT dan rahmat-Nya sahaja.

Manusia memang mempunyai daya untuk menjinakkan hati dengan sifat maghfirah Allah SWT dan sifat rahmah-Nya. Manusia memang ada fitrah salimahnya yang tidak berasa asing dengan Al Haq.


Nas-Nas Al Quran


Ada banyak ayat-ayat Allah SWT yang menjelaskan manusia suka mengingkari sifat-sifat dan kekuasaan-Nya serta akibatnya. Firman-Nya yang bermaksud :


Antara manusia ada orang yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan dan mengikuti setiap syaitan yang sangat jahat, yang telah ditetapkan terhadap syaitan itu, bahawa barangsiapa yang berkawan dengan dia, tentu dia akan menyesatkan, dan membawanya ke azab neraka.(Al-Haj : 3-4)


Nas al-Quran ini jelas menunjukkan kefahaman yang perlu diambil sebagai panduan untuk mendapatkan kesedaran keimanan. Ia dapat dirumuskan dengan ringkas iaitu betapa hebatnya ilmu manusia yang menjurus ke arah pengenalan Allah SWT sebagai Rab lalu membolehkannya terus berubudiyah.Sekaligus ia juga menghapuskan kejahilan yang menjadi teman setia hawa nafsu dan syaitan yang menyesatkan dengan kepekatan keangkuhan.


Perkara paling malang sekali untuk mereka ialah Allah menyediakan hukuman seksaan api neraka yang tidak seorang pun dapat melepaskan diri daripadanya. Mohon dilindungi Allah SWT ke atas

semua mukminin mukminat dan muslimin muslimat daripada bencana kemurkaan Allah Jalla Jalaluh.

Begitu juga sebaliknya terdapat sebahagian manusia yang dirahmati Allah SWT dengan penganugerahan kemenangan ke atas mereka. Firman-Nya yang bermaksud :


Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan: Kami mendengar, dan kami patuh. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertaqwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.


Berdasarkan nas ini jelas betapa besar erti dan peranan iman yang membuahkan ubudiyah, kepatuhan dan ketaatan, ketakutan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Iman sebegini akan dianugerahkan kemenangan oleh Allah SWT